Sekolah Menengah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu menengah atas dan menengah bawah. Semasa tempoh peralihan daripada kurikulum lama kepada kurikulum baharu, pelajar-pelajar Tahun 7 dan 8 dikehendaki mengikuti kurikulum baharu di bawah Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21) manakala pelajar-pelajar Tingkatan 3 kekal dengan kurikulum lama dan wajib menduduki Penilaian Menengah Bawah (PMB) pada akhir tahun. Tahun 2009 merupakan tahun terakhir PMB diadakan.
Mulai tahun 2010, bahagian menengah bawah terdiri daripada Tahun 7 dan 8. Semua pelajar Tahun 8 wajib menduduki Peperiksaan SPE (Student Progress Examination) pada akhir tahun dan keputusan yang diperoleh dalam SPE akan menentukan sama ada seseorang pelajar itu belajar di aliran Sains atau aliran Sastera semasa menengah atas (Tahun 9 hingga 11).
Bagi kelas bukan peperiksaan awam, para pelajar dikehendaki menduduki dua peperiksaan iaitu Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun di samping dua ujian berkala. Pelajar-pelajar menengah bawah akan menduduki Peperiksaan SPE (Student Progress Examination) pada akhir Tahun 8.
Peperiksaan SPE akan menentukan sama ada pelajar-pelajar akan mengikuti aliran Sains atau aliran Sastera. Penentuan aliran yang akan diikuti oleh pelajar-pelajar pada peringkat menengah atas adalah mengikut kriteria yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan diubahsuai mengikut polisi sekolah. Mata pelajaran yang ditawarkan bagi menengah bawah ialah bahasa Melayu termasuk Jawi, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, Matematik, Pendidikan Jasmani, Social Studies, Melayu Islam Beraja, Pengetahuan Ugama Islam, Sivik, dan BAT (Perdagangan, Seni Lukis dan Teknologi).
Bahasa pengantar yang digunakan ialah Bahasa Melayu bagi mata pelajaran bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja dan Pendidikan Agama Islam (IRK).
Mata pelajaran Bahasa Mandarin diajar dalam bahasa Mandarin manakala mata pelajaran lain diajar dalam Bahasa Inggeris.
Menengah bawah terdiri daripada Tahun 7 dan Tahun 8. Semua pelajar dibenarkan naik kelas walaupun tidak mendapat markah purata lulus dengan syarat kehadiran mencapai 85%. Pelajar-pelajar yang mendapat markah 70% ke atas bagi mata pelajaran Teras akan mengikuti pendidikan menengah 5 tahun (2 + 3) dalam aliran Sains sebelum menduduki Peperiksaan GCE peringkat O.
Pelajar-pelajar yang mendapat markah 50% ke atas bagi mata pelajaran teras akan mengikuti pendidikan menengah selama lima tahun dalam aliran Sastera. Keputusan peperiksaan SPE akan menentukan aliran yang akan diambil oleh pelajar-pelajar semasa belajar di menengah atas Tahun 9.
Bagi kelas peperiksaan awam (GCE Peringkat “O”), para pelajar akan menduduki satu ujian berkala dan tiga peperiksaan utama, iaitu Peperiksaan Pertengahan Tahun, Peperiksaan Percubaan, dan Peperiksaan Tamat Persekolahan. Para pelajar akan diberikan kertas peperiksaan mengikut format Peperiksaan GCE Peringkat “O” sepenuhnya.
Bahagian menengah atas dibahagikan kepada dua aliran, iaitu Aliran Sastera dan Aliran Sains.
Mata pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Melayu Islam Beraja (MIB), Matematik, Geografi, Prinsip Akaun, Perdagangan, Biologi, Fizik, Kimia, Sains Paduan, Seni dan Reka Bentuk, Sains Komputer, Reka Bentuk dan Teknologi, serta ICT. Para pelajar diwajibkan mengambil semua mata pelajaran teras dan memilih satu mata pelajaran elektif yang ditawarkan.
Aliran Sains
Mata pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar Aliran Sains adalah seperti berikut:
· Bahasa Melayu
· Melayu Islam Beraja (MIB)
· Bahasa Inggeris
· Bahasa Mandarin
· Matematik Tambahan
· Matematik
· Kimia
· Biologi
· Fizik
· Prinsip Akaun
· Sains Komputer
· ICT
· Pendidikan Jasmani
Pendidikan Ugama Islam diwajibkan kepada semua pelajar Islam sahaja. Pelajar Aliran Sains juga boleh mengambil mata pelajaran tambahan seperti Perdagangan, Seni dan Reka Bentuk, serta Geografi.
Aliran Sastera
Mata pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar Aliran Sastera adalah seperti berikut:
· Bahasa Melayu
· Melayu Islam Beraja (MIB)
· Bahasa Inggeris
· Bahasa Mandarin
· Matematik
· Sains Paduan
· Prinsip Akaun
· ICT
· Pendidikan Jasmani
Pendidikan Ugama Islam diwajibkan kepada semua pelajar Islam sahaja. Pelajar Aliran Sastera dibenarkan memilih satu mata pelajaran elektif daripada Geografi, Reka Bentuk dan Teknologi, atau Seni dan Reka Bentuk untuk Peperiksaan GCE Peringkat “O”.
Menengah atas terdiri daripada Tahun 9, 10 dan 11. Para pelajar dibahagikan kepada aliran Sastera dan Sains. Para pelajar akan menduduki peperiksaan GCE Peringkat “O” semasa belajar di Tahun 11.
Semua kertas ujian dan peperiksaan disemak dan dikembalikan kepada para pelajar. Rekod kemajuan pelajar akan disampaikan kepada ibu bapa semasa Hari Perjumpaan Ibu bapa dan Guru yang diadakan selepas peperiksaan pertengahan tahun. Keputusan peperiksaan akhir tahun akan disampaikan semasa Majlis Penyampaian Sijil pada bulan November.