Kemudahan - Kemudahan Sekolah

Pada masa kini, Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB mempunyai keluasan 8 ekar dengan 8 buah bangunan.

Sekolah ini mempunyai lebih daripada dua ribu orang pelajar dan lebih kurang 130 orang tenaga pengajar.

Bangunan Bahagian Menengah

Bangunan ini mempunyai tiga tingkat yang menempatkan sebuah bilik muzik, dua buah bilik lukisan dan 20 buah bilik darjah bagi pelajar-pelajar bahagian menengah. Semua bilik darjah dilengkapi dengan penghawa dingin, papan putih, layar putih dan projektor.

Bangunan Bahagian Sekolah Rendah

Bangunan bahagian sekolah rendah pula mempunyai sebuah klinik pergigian, bilik kaunselor dan lebih daripada 40 buah bilik darjah. Semua bilik darjah dilengkapi dengan penghawa dingin, papan putih, layar putih dan projektor.

Bangunan Pentadbiran

Bangunan pentadbiran mempunyai 4 tingkat. Tingkat kedua menempatkan pejabat pengetua, pejabat pentadbiran, pejabat guru, pejabat perkembangan pelajar dan pejabat akaun. Tingkat ketiga mempunyai 3 buah bilik komputer pelajar dan sebuah bilik komputer guru. Manakala tingkat bawah dan pertama mempunyai bilik-bilik kelas tadika serta taman permainan kanak-kanak.

Dewan Darussalam

Bersebelahan dengan bangunan sekolah rendah ialah Dewan Darussalam yang boleh menampung lebih kurang dua ribu orang pelajar atau penonton. Dewan yang berhawa dingin ini dilengkapi dengan kemudahan multimedia dan gelanggang bola keranjang. Perhimpunan mingguan dan pelbagai pertandingan serta acara sekolah akan diadakan di sini. Dewan Darussalam juga digunakan untuk para pelajar menduduki peperiksaan awam seperti PSR dan GCE ‘O’ Level.

Dewan Boon Pang

Dewan Boon Pang terletak di tingkat satu menghadap bangunan sekolah rendah dan berhadapan dengan bilik kaunselor. Sebelum ini, Dewan Boon Pang diubahsuai menjadi makmal komputer, makmal bahasa serta makmal audio dan visual kerana kekurangan bilik darjah. Namun begitu, selepas terbinanya bangunan baharu sekolah ini, Dewan Boon Pang telah diubahsuai sekali lagi untuk dijadikan dewan serba guna yang sesuai untuk aktiviti latihan tarian, drama, wushu dan pelbagai aktiviti lain.

Dewan Aw Boon Haw

Dewan Aw Boon Haw terletak di tingkat 5 bangunan baharu dan bersebelahan dengan perpustakaan. Dewan ini merupakan dewan serba guna yang sesuai digunakan untuk pelbagai jenis aktiviti seperti pameran, ceramah, latihan tarian, tempat peperiksaan dan sebagainya. Dewan ini dapat menampung lebih kurang 70 orang pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

Dewan Kuliah Ong Tiong Oh

Dewan Kuliah Ong Tiong Oh terletak di tingkat satu bangunan baharu. Dewan Kuliah ini setinggi 2 tingkat dan direka seakan-akan panggung wayang dengan tempat duduk disusun dari bawah ke atas. Dewan ini dilengkapi dengan penghawa dingin, sebuah komputer, projektor, layar putih, pentas dan sistem bunyi. Dewan Kuliah Multimedia ini boleh menampung lebih kurang 150 orang pelajar. Pelajar-pelajar dari kelas yang berlainan boleh digabungkan untuk mengikuti kelas atau menghadiri ceramah di sini. Dewan kuliah ini juga digunakan untuk mengadakan mesyuarat, mengadakan pelbagai pertandingan seperti drama, pidato, bercerita dan sebagainya.

Bilik Persidangan Lembaga Pengarah Sekolah

Bilik ini digunakan untuk mengadakan mesyuarat oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah Sekolah dan ketua-ketua jabatan. Bilik persidangan ini juga digunakan untuk menyambut para pelawat yang berkunjung ke sekolah ini. Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan projektor untuk menayangkan video dan membuat pembentangan.

Galeri Warisan

Galeri Warisan terletak di tingkat tiga bangunan tadika. Galeri Warisan mula dibina pada tahun 2002 sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB. Galeri ini merupakan tempat menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan tentang sejarah sekolah ini supaya para pelajar dan pelawat dapat mengimbas kembali usaha dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh tokoh-tokoh terdahulu terhadap pembangunan pendidikan di sekolah ini. Di samping itu, galeri ini juga berperanan sebagai tempat penyimpanan bahan-bahan sejarah tentang pembangunan masyarakat Tionghua di negara ini.

Klinik Pergigian

Klinik pergigian terletak di tingkat satu bangunan sekolah rendah. Klinik pergigian ini menawarkan perkhidmatan kesihatan gigi kepada pelajar-pelajar sekolah dari peringkat tadika hingga ke peringkat menengah.

Klinik Perubatan

Klinik perubatan terletak di tingkat bawah berdekatan Dewan Boon Pang dan bangunan baharu. Sekolah ini mempunyai dua orang jururawat terlatih yang bertugas sepenuh masa untuk memberi rawatan kecemasan kepada para pelajar sebelum dirujuk kepada doktor jika para pelajar mengalami masalah kesihatan semasa berada di sekolah.

Bilik Guru

Bilik guru terletak di tingkat satu bangunan pentadbiran. Setiap guru mempunyai meja masing-masing yang direka khas dengan dilengkapi dengan papan kenyataan, rak buku dan laci yang boleh dikunci. Susunan meja guru adalah mengikut subjek yang diajar untuk memudahkan guru-guru berbincang dan bertukar-tukar pendapat.

Bilik Komputer

Sekolah ini mempunyai 4 buah bilik komputer. Tiga buah digunakan oleh para pelajar untuk mengikuti pelajaran subjek ICT dan subjek-subjek yang lain. Sebuah lagi bilik komputer adalah untuk digunakan oleh guru-guru semasa membuat soalan peperiksaan dan latihan-latihan.

Makmal Sains

Makmal Sains terletak di tingkat tiga bangunan baharu. Di sini terdapat 5 buah makmal sains, iaitu makmal Fizik, Kimia, Biologi, makmal sains sekolah rendah dan makmal sains sekolah menengah bawah. Kelima-lima buah makmal ini dilengkapi dengan peralatan untuk membuat ujian amali Sains. Kemudahan makmal Sains ini membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang untuk mengikuti aliran sains dan mempunyai lebih banyak peluang untuk membuat uji kaji supaya dapat memenuhi keperluan para pelajar dalam bidang sains.

Perpustakaan Sekolah

Perpustakaan sekolah terletak di tingkat empat dan lima bangunan baharu. Perpustakaan baharu diberi nama Perpustakaan Tan Tien Chern. Terdapat lima puluh ribu koleksi di dalam perpustakaan ini yang bercirikan perpustakaan elektronik. Perpustakaan ini menyediakan pelbagai buku dalam bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pepustakaan sekolah mengadakan pelbagai usaha untuk menarik minat pelajar datang ke perpustakaan untuk membaca buku atau meminjam buku agar para pelajar dapat menimba lebih banyak ilmu pengetahuan. Terdapat sebuah bilik bacaan sekolah rendah yang mampu menampung lebih kurang 30 orang pelajar untuk mengadakan aktiviti bacaan. Ini akan dapat memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi.

Bilik Kaunselor

Bilik kaunselor terletak di tingkat satu bangunan sekolah rendah dan berdekatan Dewan Boon Pang. Sekolah ini mempunyai dua orang guru kaunselor yang memberi perkhidmatan Kaunseling kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan untuk mengatasi masalah emosi. Kaunselors juga memberi pekhidmatan nasihat dari segi pemilihan kerjaya dengan mengadakan Jerayawara institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negeri.

Bilik Aktiviti

Bangunan baru ini mempunyai 4 tingkat. Tingkat 1 ialah dua buah bilik aktiviti Bahasa Melayu dan MIB, dua buah bilik aktiviti Bahasa Cina, dua buah bilik aktiviti Bahasa Inggeris dan sebuah bilik aktiviti Geografi dan Social Studies. Manakala bilik aktiviti Matematik terletak di tingkat tiga bangunan baharu. Keenam-enam buah bilik aktiviti untuk 3 bahasa ini membuktikan penekanan pihak sekolah terhadap pengajaran 3 bahasa. Ia juga merupakan cara baharu dalam pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan cara lama yang hanya terhad di dalam bilik darjah. Pelajar boleh melakukan aktiviti seperti membaca, berbincang, pembelajaran multimedia, persembahan drama, menyanyi sambil belajar, syarahan dan banyak lagi supaya proses pembelajaran bahasa tidak lagi menjadi bosan.

Bilik Persatuan Pengakap

Bilik Persatuan Pengakap terletak di bawah Dewan Boon Pang dan bersebelahan klinik kesihatan sekolah. Bilik persatuan pengakap digunakan sebagai bilik gerakan semasa aktiviti kokurikulum dan perkhidmatan amal dijalankan. Bilik ini juga digunakan untuk menyimpan alatan pengakap dan bahan-bahan rujukan pengakap.

Taman Permainan Tadika

Taman permainan tadika terletak di tingkat bawah bangunan tadika dan bersebelahan bangunan bahagian menengah. Taman tadika ini digunakan oleh murid-murid tadika ketika waktu rehat dan ketika aktiviti luar bilik darjah dijalankan.

Bilik Tarian & Muzik Tadika

Tadika merupakan salah satu bahagian yang penting di sekolah ini. Tadika SMCH yang menyediakan pendidikan awal secara professional telah menarik minat ibu bapa pelbagai kaum untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Justeru itu, di dalam bangunan baru ini terdapat bilik tarian di tingkat pertama dan bilik muzik di tingkat kedua. Tadika SMCH menyediakan pelbagai jenis kelas pelbagai bakat secara percuma yang bertujuan untuk mencungkil bakat yang ada pada setiap pelajar tadika. Kelas-kelas bakat yang disediakan adalah seperti kelas lisan untuk 3 bahasa iaitu bahasa Mandarin, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kelas tarian, lukisan, kraftangan, muzik dan sebagainya.

Kantin Sekolah

Kantin sekolah terletak bersebelahan Dewan Darussalam. Kantin ini mempunyai empat pintu yang menjual makanan dan minuman halal mengikut garis pandu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Brunei. Kantin ini dilengkapi dengan meja dan bangku yang boleh menampung 500 orang pelajar pada satu masa. Tempat mencuci tangan juga disediakan dengan sink dan sabun. Pelajar-pelajar dilatih untuk mencuci tangan sebelum dan selepas makan. Pelajar-pelajar akan ke kantin pada waktu rehat yang dibahagikan kepada dua masa rehat yang berbeza bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Waktu rehat pelajar-pelajar sekolah rendah adalah pada pukul 8.45 pagi hingga 9.15 pagi manakala waktu rehat bagi pelajar-pelajar bahagian menengah adalah pada pukul 9.15 pagi hingga 9.45 pagi.

Koperasi Sekolah

Koperasi sekolah dikendalikan oleh pihak sekolah dan dibantu oleh pelajar dari kelab keusahawanan. Koperasi sekolah terletak berdepanan dengan Dewan Darussalam dan sama paras dengan tingkat satu bangunan asrama guru. Koperasi sekolah menjual pelbagai alat tulis, buku tulis dengan logo sekolah, pakaian seragam sekolah, pakaian sukan dan sebagainya.

Gelanggang Bola Keranjang

Gelanggang bola keranjang terletak berdekatan kawasan letak kereta bahagian menengah. Gelanggang bola keranjang digunakan oleh pelajar-pelajar bahagian menengah untuk berlatih dan mengadakan perlawanan bola keranjang antara kelas.

Bilik Sukan

Bilik sukan terletak di tingkat bawah blok asrama guru. Bilik sukan ini digunakan untuk menyimpan peralatan sukan dan mempunyai ruang untuk aktiviti bina badan.

Surau / Bilik Ibadat

Surau SMCH terletak di tingkat dua dan sama paras dengan bilik guru. Surau ini telah dibuka secara rasmi pada 30 Ogos 2002 oleh tetamu kehormat Pg. Duraman bin Pg. Hj. Damit, Ketua Unit Institusi Bahagian Rendah, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam. Surau ini digunakan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar Islam untuk bersembahyang dan aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, menghafaz ayat-ayat Lazim, menghafal doa-doa rampaian dan tempat belajar Muquadam.

Asrama Guru

Asrama guru terletak berdepanan dengan Dewan Darussalam. Asrama guru mempuyai tiga blok yang dibahagikan kepada tiga jenis iaitu satu bilik bagi satu unit, dua bilik bagi satu unit dan apartment. Setiap blok disediakan dengan dapur, ruang tamu dan tandas. Asrama ini disediakan untuk guru-guru dari luar negeri dan guru-guru yang tinggal jauh dari sekolah.