Bahagian Sekolah Rendah

Sekolah rendah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu rendah atas dan rendah bawah. Bermula dari tahun 2009, kurikulum baharu di bawah Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21) mula dilaksanakan di kalangan murid-murid Tahun Satu manakala Tahun Dua danTahun Tiga kekal dengan kurikulum lama. Pada tahun 2010, murid-murid Tahun Satu dan Dua mula mengikuti kurikulum baharu di bawah SPN 21. Pada tahun 2011, semua murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam mengikuti sepenuhnya kurikulum baharu di bawah SPN 21. Murid-murid Tahun Enam diwajibkan untuk menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang berdasarkan sukatan pelajaran rendah atas.

 

Di bawah Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21), di samping mata pelajaran teras, penekanan juga diberikan kepada kemahiran hidup seperti: Kemahiran berkomunikasi (mendengar, bertutur, membaca, menulis), Kemahiran mengira, Kemahiran Sains, Kemahiran berfikir secara kreatif, Kemahiran belajar dan bekerja, Kemahiran pengurusan diri dan berdaya saing, Kemahiran bersosial, Latihan fizikal, Pembentukan perwatakan luar, Kemahiran teknologi maklumat abad ke-21, Keyakinan diri, Keazaman dan rasa syukur, Berdikari, Memahami dan menghormati orang lain, Bersikap penyayang dan bijak memerhati, Saling mempercayai, Bersikap patriotic, Pembentukan watak dan identity, Bersaing secara sihat, Mendisiplinkan diri.

Kurikulum Rendah Bawah

Untuk bahagian sekolah rendah, murid-murid mengikutI kurikulum yang memfokuskan 12 mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu dan Jawi, Bahasa Cina, Bahasa Inggeris, Matematik, Melayu, Islam Beraja (MIB), Sains, Komputer, Muzik, Pendidikan Jasmani, Moral, Pengetahuan Agama Islam (IRK) dan Lukisan. Bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Melayu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja (MIB) dan Pengetahuan Agama Islam (IRK). Mata pelajaran Bahasa Cina dan Pendidikan Moral diajar dalam bahasa Cina dan mata pelajaran lain diajar dalam bahasa Inggeris. Mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam hanya diajar kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam sahaja.

Sesi Akademic / Peperiksaan / Penilaian Rendah Bawah

Murid-murid rendah bawah mesti memenuhi syarat dan kriteria, sama ada dari segi akademik mahupun kelakuan untuk meneruskan pelajaran bagi peringkat seterusnya. Sesi akademik terbahagi kepada dua, iaitu pertengahan tahun dan akhir tahun. Untuk setiap pertengahan tahun, murid-murid dikehendaki untuk menduduki dua ujian dan dua peperiksaan. Di samping itu, keputusan setiap murid juga dinilai dari segi kerja sekolah, kerja rumah dan projek. Tiada peperiksaan awam untuk bahagian sekolah rendah.

Kurikulum Rendah Atas

Untuk sekolah rendah atas, murid-murid mengikuti kurikulum yang meliputi 13 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Jawi, Bahasa Cina, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Melayu Islam Beraja (MIB), Pengetahuan Agama Islam (IRK), Pendidikan Kemasyarakatan (Social Studies), Komputer, Muzik, Pendidikan Jasmani, Moral dan Lukisan.

 

 

Walau bagaimanapun, murid-murid hanya akan menduduki peperiksaan dalam lima mata pelajaran semasa Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR). Subjek-subjek tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Melayu Islam Beraja.

 

Bahasa pengantar bagi semua subjek ialah Bahasa Inggeris melainkan mata pelajaran Bahasa Cina dan Moral diajar dalam bahasa Cina manakala Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja dan Pengetahuan Agama Islam diajar dalam bahasa Melayu. Mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam hanya diwajibkan untuk pelajar-pelajar yang beragama Islam sahaja.

Sesi Akademic / Peperiksaan / Penilaian Rendah Atas

Murid-murid rendah atas mesti memenuhi syarat dan kriteria, sama ada dari segi akademik mahupun kelakuan untuk meneruskan pelajaran bagi peringkat seterusnya. Di samping itu, murid-murid Tahun Enam wajib lulus dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) untuk meneruskan pelajaran di Tahun Tujuh. Sesi akademik terbahagi kepada dua, iaitu pertengahan tahun dan akhir tahun.

 

Untuk setiap pertengahan tahun, murid-murid Tahun Empat dan Tahun Lima dikehendaki untuk menduduki dua ujian dan dua peperiksaan. Untuk murid-murid Tahun Enam, selain daripada menduduki satu ujian dan satu peperiksaan pada pertengahan tahun, mereka dikehendaki untuk menduduki peperiksaan percubaan dan peperiksaan akhir tahun. Selain daripada itu, mereka turut dinilai dari segi kerja sekolah, kerja rumah dan projek.

Laporan Kemajuan Pelajar

Semua kertas ujian dan peperiksaan disemak dan dikembalikan kepada para pelajar. Keputusan peperiksaan akhir tahun akan dicatatlan dalam Laporan Kemajuan Pelajar dan disampaikan semasa Majlis Penyampaian Sijil pada bulan November.