Pertandingan Nyanyian Bintang Jabatan Bahasa Melayu, SMCH BSB

Jabatan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan jayanya mengadakan Pertandingan Nyanyian Bintang Jabatan Bahasa Melayu pada hari ini bertempat di Dewan Boon Pang. Kejayaan ini adalah seratus peratus kejayaan bersama dan kerjasama semua guru Jabatan Bahasa Melayu yang diketuai oleh Puan Tan Been Tiem dan Awang Beh Hai Yau selaku penasihat pertandingan.

Alhamdulillah, pada tahun ini, Jabatan Bahasa Melayu sekali lagi mengadakan Pertandingan Nyanyian Bintang JBM yang telah mencapai objektifnya untuk mendedahkan para pelajar tentang seni muzik lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu tradisional Melayu dalam nyanyian di peringkat sekolah rendah dan menengah. Pertandingan ini diharapkan dapat menjadi platform dalam mencungkil bakat seni pelajar yang terpendam serta berani bersuara di khalayak ramai. Di samping itu, para peserta dapat menguasai penghayatan, kehalusan seni bahasa yang boleh dijadikan hiburan dan pengetahuan seni muzik Melayu. Hasil bakat-bakat yang sedia itu nanti, diharapkan akan mampu diketengahkan lagi dalam pelbagai cabang seni.

Pada peringkat saringan yang berakhir pada 18 Jun lalu, seramai 28 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah atas, rendah bawah dan bahagian menengah. Pelajar-pelajar yang layak ke peringkat akhir pertandingan nyanyian ini telah memenuhi syarat-syarat pemarkahan yang dinilai dari segi vokal, tempo dan gaya persembahan. Pemilihan peserta ke peringkat akhir terdiri daripada 5 orang peserta terbaik bagi setiap kategori iaitu seramai 15 orang peserta.

Keputusan muktamad pertandingan juga telah diumumkan pada hari pertandingan akhir. Johan bagi kategori sekolah rendah atas telah dimenangi oleh Su Quincy, tempat kedua Jasmine Fong Robson dan ketiga Koh Yen Han@Adele. Bagi kategori sekolah rendah bawah, johan disandang oleh Jasmine Ngo Hui Minn, naib johan Nur Azzalea Zulaikha dan tempat ketiga Elisha Sim Yi Syn manakala bahagian sekolah menengah, juara pertandingan nyanyian disandang oleh Jana Ysabella Espino Padillo, Edgar Jericho Lam Yu Jee mendapat naib johan dan tempat ketiga milik Tan Hong Hui. Hadiah saguhati diberikan kepada pelajar tempat keempat dan kelima. Majlis Penyampaian hadiah piala dan sijil kepada pemenang-pemenang akan diadakan pada 5 Ogos 2021.

Jabatan Bahasa Melayu ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada ibu bapa atas galakan yang diberikan kepada anak-anak untuk menyertai pertandingan ini. Jabatan Bahasa Melayu berharap sokongan padu ini akan terus berkekalan selamanya.

▲ Su Quincy, Johan kategori sekolah rendah atas. ▲ Jasmine Ngo Hui Minn, Johan kategori sekolah rendah bawah.
▲ Jana Ysabella Espino Padillo Johan kategori sekolah menengah. ▲ Peserta bagi kategori sekolah rendah bawah.
▲ Peserta bagi kategori rendah atas. ▲ Peserta bagi kategori menengah.
▲ Semua peserta bergambar ramai dengan jawatankuasa pertandingan.