20 Orang Pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB Menerima Hadiah Pelajar Cemerlang Bahasa Melayu Semasa Majlis Kemuncak Karnival Memperkasa Budaya Membaca Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei

Majlis Kemuncak Karnival Memperkasa Budaya Membaca berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Bandar Seri Begawan pada 23 November 2022.

Majlis disempurnakan oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis diselajurkan dengan pelancaran perkhidmatan e-Buku Perpustakaan DBP, penyampaian Hadiah Kerajinan Membaca kepada ahli-ahli perpustakaan di seluruh negara, penyampaian Hadiah Cabaran Lost in The Library, penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat O dan A Tahun 2021serta Penyampaian Hadiah Lantera Bahasa.

Seramai 20 orang pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB telah menerima Hadiah Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Bahasa Melayu bagi peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat O Tahun 2021. Pelajar-pelajar yang dimaksudkan adalah seperti senarai berikut.

Pengetua sekolah Puan Kho Guik Lan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian cemerlang mereka. Puan pengetua juga berharap para pelajar akan terus mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Cikgu Tan Been Tiem, Ketua Jabatan Bahasa Melayu turut mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dalam bahasa Melayu. Cikgu Tan berharap, pencapaian ini akan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk mencapai keputusan yang cemerlang.


▲ Pelajar-pelajar cemerlang bahasa Melayu bergambar ramai dengan pengetua puan Kho Guik Lan, timbalan pengetua, Cikgu Beh Hai Yau, penolong pengetua bahagian menengah merangkap ketua jabatan bahasa Melayu cikgu Tan Been Tiem, penolong pengetua bahagian tadika cikgu Sim Man Ling dan guru-guru bahasa Melayu dari tahun 1 hingga tahun 11.