Tiga Orang Guru Dari SMCH, BSB Menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru NBD Ke-32

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-32 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) yang telah diadakan pada 4 Oktober 2022. Sambutan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan profesion para guru yang telah menyumbang usaha dalam pendidikan.

Tetamu kehormat dalam majlis tersebut ialah YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Kementerian Pendidikan sebagai penasihat bersama majlis tersebut. Turut hadir menyaksikan detik bersejarah tiga orang guru dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru ialah penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem sebagai wakil kepada pengetua Puan Kho Guik Lan.

Seramai 79 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru terdiri daripada 28 penerima tahun 2020, 23 penerima tahun 2021 dan 28 penerima tahun 2022. Cikgu Chiam Lay Kuan (Subjek: Bahasa Melayu), Cikgu Kwan Fui San (Subjek: Bahasa Cina) dan Cikgu Mili Santhosh (Subjek: Fizik dan Sains Paduan) daripada SMCH, BSB adalah antara 28 penerima anugerah Penghargaan Hari Guru bagi tahun 2020. Anugerah Penghargaan Hari Guru merupakan satu pencapaian dan tonggak sejarah perkhidmatan sebagai seorang guru.

Penganugerahan ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para guru dalam usaha menerajui wawasan negara dan bersama-sama memperkasakan kemajuan pendidikan di negara ini.

Anugerah Penghargaan Hari Guru merupakan insentif dan pengiktirafan kepada warga pendidik yang memberi sumbangan kepada pembangunan sekolah dan institusi pendidikan. Khidmat guru tidak terhad kepada institusi pendidikan tempat mereka bekerja tetapi juga dilihat daripada penglibatan mereka di peringkat masyarakat dan negara.

Majlis diteruskan dengan persembahan klip video lagu tema Hari Guru ke-32 ‘Guruku Harapan Negara’.

Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB Puan Kho Guik Lan berasa gembira dan bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan yang diberi kepada tiga orang guru dari sekolah ini. Pengiktirafan ini menjadi pendorong dan motivasi kepada guru-guru lain untuk terus memberi sumbangan dalam bidang pendidikan dengan lebih baik lagi.

▲ Cikgu Kwan Fui San menerima Penghargaan Anugerah Hari Guru bagi subjek bahasa Cina. ▲ Cikgu Mili Santhosh menerima Penghargaan Anugerah Hari Guru bagi Subjek Fizik dan Sains Paduan.
▲ Cikgu Chiam Lay Kuan menerima Penghargaan Anugerah Hari Guru bagi subjek bahasa Melayu. ▲ Dari kiri: Cikgu Mili Santhosh, Cikgu Chiam Lay Kuan dan Cikgu Kwan Fui San penerima Penghargaan Anugerah Hari Guru Tahun 2020.
▲ Tiga orang penerima Penghargaan Anugerah Hari Guru Tahun 2020 dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB Cikgu Chiam Lay Kuan (pertama dari kiri), cikgu Kwan Fui San (kedua dari kiri) dan Cikgu Mili Santhosh(pertama dari kanan) serta Cikgu Tan Been Tiem sebagai wakil pengetua puan Kho Guik Lan hadir di majlis tersebut bergambar ramai dengan YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan. ▲ Tiga orang penerima Penghargaan Anugerah Hari Guru, Cikgu Kwan Fui San, Cikgu Mili Santhosh dan Cikgu Chiam Lay Kuan bergambar ramai dengan Ketua Jabatan Pendidikan Swasta Awang Sofian Erwan bin Mohamad (tengah) dan Cikgu Tan Been Tiem, penolong pengetua bahagian menengah.
▲ Penerima Penghargaan Anugerah Hari Guru bergambar ramai dengan Jawatankuasa Kerja dan Tetamu kehormat YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Kementerian Pendidikan sebagai penasihat bersama majlis tersebut. ▲ Penerima Penghargaan Anugerah Hari Guru bergambar ramai dengan pengetua dan penolong pengetua. Dari kiri: Cikgu Mili Santhosh, Cikgu Tan Been Tiem, Puan Kho Guik Lan, Cikgu Kwan Fui San dan Cikgu Chiam Lay Kuan.