Bandar Seri Begawan, 29 November 2025 – Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan telah menganjurkan satu sesi kongsisama bertajuk “Inovasi AI dalam Pembinaan Soalan” bertempat di Bilik Komputer 3. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru mengenai penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dalam membina, menilai, serta memperbaiki kualiti soalan peperiksaan.
Kongsisama ini merupakan kesinambungan daripada bengkel yang telah dihadiri oleh Cikgu Siti Roslina bt Mat Fauzi pada 3 September 2025, anjuran SBC Bahasa Melayu. Kongsisama ini telah dihadiri oleh guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB bahagian menengah dan rendah.
Antara isi utama yang dibincangkan termasuk:
- Penggunaan AI dalam Pendidikan – Guru diperkenalkan kepada cara aplikasi seperti ChatGPT membantu menghasilkan bank soalan dengan lebih sistematik dan pantas.
- Penilaian Soalan – AI digunakan untuk menilai tahap kesesuaian dan kesukaran soalan agar selaras dengan objektif pembelajaran.
- Etika dan Privasi – Penekanan terhadap kepentingan penggunaan data secara bertanggungjawab serta keperluan penilaian kritis oleh pendidik.
- Kelebihan AI – AI mempercepat proses pemarkahan, memberi maklum balas masa nyata, dan menyokong pembelajaran yang lebih interaktif serta bersifat peribadi.
Sesi ini telah memberi manfaat besar kepada guru-guru dalam memahami potensi AI sebagai alat sokongan pendidikan. Guru dapat menjimatkan masa dalam penyediaan dan semakan soalan, manakala pelajar pula berpeluang menerima sokongan pembelajaran yang lebih relevan dan berkesan.
Pihak Sekolah Menengah Chung Hwa menegaskan komitmen mereka untuk terus menggalakkan penggunaan teknologi inovatif dalam pendidikan demi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di negara ini.

Guru-guru menjawab soalan kuiz yang dihasilkan melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan Keputusan kuiz ditayangkan secara langsung.

Dua orang guru yang dapat menjawab soalan kuiz dalam masa yang paling singkat dan betul telah diberi sagu hati oleh pembentang bengkel.

Cikgu Siti Roslina bt Mat Fauzi telah memberi kongsisama bengkel yang telah dihadiri oleh beliau.
