Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan Tahun 2021

Sabtu, 2 Zulhijjah 1443H / 2 Julai 2022M – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah dengan kerjasama Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas pada petang ini telah mengadakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, Kementerian Pendidikan 2021 bagi pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Brunei Cambridge GCE ‘A’ Level (Peringkat Lanjutan), International Baccalaureate, Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level (Peringkat Biasa)/IGCSE, Program Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR). Majlis berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa majlis tersebut ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Menteri Pendidikan.

Seramai 234 orang pelajar dari Sekolah Rendah, Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Kerajaan dan Pendidikan Swasta seluruh negara menerima anugerah mengikut kategori yang telah ditetapkan di mana setiap penerima menerima sebuah trofi, sijil pencapaian dan juga wang tunai.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Muhammad Zaim Al-Muzafar bin Haji Zulaminshah, pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Senegara Bagi Tahun 1442H/2021M.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Yang Mulia Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid, Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan seterusnya penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Saadatul Bolkiah, Kampong Sungai Akar.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pemimpin-Pemimpin Sekolah dan ibu bapa serta penjaga para penerima anugerah.

Seramai 15 orang pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang GCE O Level 2021 dan seramai 10 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSR 2021.

Pihak sekolah berasa bangga dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB. Pihak sekolah ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak sehingga berjaya dengan cemerlang! Semoga pelajar-pelajar semua akan terus maju jaya pada masa akan datang.

▲ Pelajar Cemerlang Peperiksaan GCE O Level dan PSR 2021 bergambar ramai dengan ibu bapa dan pengetua Dayang Kho Guik Lan serta penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem. ▲ Pelajar Cemerlang Peperiksaan GCE O Level dan PSR 2021 bergambar ramai dengan pengetua Dayang Kho Guik Lan dan penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem.
▲ Pelajar Cemerlang PSR 2021 bergambar ramai dengan pengetua Dayang Kho Guik Lan dan penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem. ▲ Pelajar Cemerlang Peperiksaan GCE O Level 2021 bergambar ramai dengan ibu bapa dan pengetua Dayang Kho Guik Lan serta penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem.