Matthew Wong, Guru Dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB Menerima Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif di Majlis Pelancaran Anugerah BICTA 2024

Majlis Pelancaran Anugerah BICTA 2024 telah diadakan pada 18 Januari 2024 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. Pertandingan Anugerah ICT Brunei (BICTA) berperanan sebagai wadah bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam industri ICT dalam kalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta.

BICTA 2024 sekali lagi membawa tema Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, di mana ia memberikan penekanan akan pentingnya inovasi dan perkembangan teknologi baharu untuk mendukung usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Majlis pelancaran Anugerah BICTA 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Ir Haji Mohammad Nazri dalam kata alu-aluanya antara lain menyatakan bahawa tema itu adalah sehaluan dengan aspirasi dalam mencapai hasrat yang digariskan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.
Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan Penghargaan Khas BICTA bersempena ulang tahun penganjuran BICTA ke-20.

Pada 2024, BICTA memperkenalkan Penghargaan Khas bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta jasa individu dalam pencapaian BICTA termasuk di peringkat pertandingan ICT antarabangsa iaitu Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA).

Bagi Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif, penerima terdiri daripada peserta BICTA daripada kalangan industri dan guru-guru pengawas bagi penyertaan sekolah ke pertandingan BICTA yang mempunyai dedikasi penuh dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi melalui penyertaan yang konsisten serta meraih kemenangan di pertandingan antarabangsa APICTA.

Para penerima ialah Haji Muhammad Zuwaini bin Haji Aliyani dari Ma’had Islam Brunei, Matthew Wong dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin dari Mindtrex Academy dan Sarinah binti Ziziumiza dari Rumine Corporation.

Sementara itu, penerima Penghargaan Jasa Bakti BICTA merupakan daripada kalangan pemimpin dan individu yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran serta turut menabur jasa ke arah pembaikan, peningkatan BICTA dan terlibat secara aktif dalam menerajui APICTA.

Para penerima ialah Dr Yong Chee Tuan dan Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga berpeluang bagi beramah mesra dan mendekati peserta-peserta BICTA pada tahun-tahun yang lalu.

▲ Cikgu Matthew Wong menerima penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. ▲ Dr. Yong Chee Tuan penerima Penghargaan Jasa Bakti BICTA yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
▲ Pasukan dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB bergambar ramai dengan Dr Yong Chee Tuan penerima Penghargaan Jasa Bakti BICTA (keempat dari kiri) dan Cikgu Matthew Wong penerima Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif (kelima dari kiri). ▲ Pasukan dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary (keenam dari kiri) , Dr Yong Chee Tuan penerima Penghargaan Jasa Bakti BICTA (kelima dari kiri) dan Cikgu Matthew Wong penerima Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif (kelima dari kiri).
▲ Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Penghargaan Khas.