Seramai 27 orang guru dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam. Pada setiap 23 September, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Guru sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini. Sambutan ini juga adalah sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia negara. Pada tahun ini, Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru diadakan pada hari Selasa, 1 Rabiulakhir 1447 bersamaan 23 September 2025 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) dengan tema ‘Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi.
Pada pagi ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kerabat Diraja, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2025.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2025.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah Ayat 269, Surah Al-Mujadalah Ayat 11, Surah Al-A’raf Ayat 31 dan Surah Al-Ruum Ayat 41-42, oleh Yang Mulia Awang Haji Md Zul-Hafiz bin Haji Tengah, Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Manakala intisari ayat disampaikan oleh Yang Mulia Muhammad Fuad bin Matahir, Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Seterusnya, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2025 menyembahkan sembah alu-aluan dan diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis pagi ini diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru yang menampilkan komitmen, dedikasi dan kasih sayang para guru dalam membimbing pelajar. Meskipun berdepan pelbagai cabaran, sokongan serta bimbingan para guru terus menjadi sumber kekuatan sehingga membolehkan para pelajar berjaya menamatkan perjalanan pendidikan mereka, sejajar dengan aspirasi negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Majlis turut diserikan dengan persembahan utama iaitu nyanyian Kompilasi Lagu-Lagu Medley bertajuk “Guru Oh Guru”, “Jasamu Guru” dan “Terima Kasih Cikgu”, diikuti dengan Lagu Hari Guru Ke-35 yang bertajuk “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi”. Persembahan berkenaan merupakan gabungan seramai 32 pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Rendah Beribi Telanai dan Seri Mulia Sarjana School.
Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-Anugerah Hari Guru Ke-35, Tahun 2025 kepada para penerima yang terdiri daripada seorang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), 4 orang penerima Anugerah Guru Berjasa, 9 orang penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 30 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).
Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan berasa bangga kerana pada tahun ini, seorang lagi guru dari sekolah ini menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) bagi subjek Sains. Beliau ialah guru yang kesembilan yang pernah menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB. Guru-guru yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB ialah Puan Kho Guik Lan (pengetua), Cikgu Tan Been Tiem (penolong pengetua bahagian menengah), Cikgu Mili Santhosh (Ketua Jabatan Sains), Cikgu Chiam Lay Kuan (Guru Bahasa Melayu), Cikgu Kwan Fui San (Guru Bahasa Cina), Cikgu Matthew Wong Ing Huong (Ketua Jabatan Komputer), Cikgu Ang Sak Tiong (Ketua Guru Disiplin), dan Ho Ket Piau (Ketua Jabatan Matematik).
Di akhir majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta Kerabat Diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2025.
Cikgu Teh Siew Eng menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) dalam subjek Sains.
Guru-guru dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB bergambar ramai dengan timbalan pengetua Cikgu Teo Siew Ying, penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem dan penolong pengetua bahagian Tadika Cikgu Sim Man Ling.
Bekas penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru tahun 2020 hingga 2024 iaitu Cikgu Ang Sak Tiong, Cikgu Mili Santhosh, Cikgu Chiam Lay Kuan, Cikgu Kwan Fui San, Cikgu Ho Ket Piau dan Cikgu Matthew Wong bergambar ramai dengan timbalan pengetua Cikgu Teo Siew Ying, penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem dan penolong pengetua bahagian Tadika Cikgu Sim Man Ling.
Cikgu Teh Siew Eng penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) bergambar ramai dengan timbalan pengetua Cikgu Teo Siew Ying, penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem, penolong pengetua bahagian Tadika Cikgu Sim Man Ling dan guru-guru dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB.
Cikgu Teh Siew Eng penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) bergambar ramai dengan timbalan pengetua Cikgu Teo Siew Ying, penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem dan penolong pengetua bahagian Tadika Cikgu Sim Man Ling.
Cikgu Teh Siew Eng penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) bergambar ramai dengan pengetua Puan Kho Guik Lan, timbalan pengetua Cikgu Beh Hai Yau, timbalan pengetua Cikgu Teo Siew Ying, dan penolong pengetua bahagian menengah Cikgu Tan Been Tiem.