Tiga Pihak Cari Jalan Penyelesaian Atasi Kesesakan Trafik di SMCH BSB

BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam usaha untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di depan pintu masuk Sekolah Menengah Chung Hwa di sini, satu perbincangan yang melibatkan pihak sekolah, cawangan trafik, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei serta Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan telah diadakan baru-baru ini.

Sesi perbincangan tersebut disertai oleh wakil-wakil daripada tiga pihak berkenaan, antara isu utama yang dibincangkan ialah mengenal pasti punca-punca masalah dan seterusnya merangka strategi yang berkesan untuk mengatasinya.

Menurut maklum balas daripada pihak sekolah, salah satu punca utama ialah terdapat sesetengah ibu bapa yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di lorong kiri jalan utama di hadapan sekolah. Sikap tidak bertanggungjawab sedemikian telah menyebabkan jalan tersebut yang pada asalnya mempunyai dua lorong menjadi satu lorong. Keadaan ini seterusnya memperlahankan aliran trafik di kawasan tersebut, terutama sekali semasa waktu tamat sekolah. Situasi bertambah buruk apabila kenderaan-kenderaan yang keluar dari kawasan sekolah terpaksa berhenti kerana menunggu lampu isyarat merah.

Selepas membuat lawatan dan tinjauan ke lokasi tersebut, pihak polis bersedia membantu pihak sekolah dalam usaha untuk menangani masalah ini manakala pihak Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan pula mencadangkan agar kawasan letak kereta di hadapan Bangunan Alat Kebesaran Diraja akan dibuka secara percuma kepada para ibu bapa sekolah berkenaan supaya mereka meletakkan kenderaan di kawasan tersebut bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan sekolah dan seterusnya mengurangkan aliran trafik. Pihak sekolah akan memaklumkan kepada pihak ibu bapa sebaik saja kerja-kerja persiapan ke arah pelaksanaan sistem ini selesai dilakukan.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bandaran dalam usaha untuk mengatasi masalah kesesakan trafik dan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini yang sudah wujud sekian lama.

▲ Ahli Lembaga Pengarah, Pengetua dan Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan bersama pegawai-pegawai daripada polis trafik dan Jabatan Bandaran meninjau lokasi yang sering berlaku kesesakan lalulintas.