Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang diadakan Sempena Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2024 yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point, Mukim Berakas ‘A’ pada 26 November 2024.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha, yang juga selaku Pengerusi MKKJR.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Lambak Kiri, Awang Mohammad bin Haji Bagol, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, selaku Setiausaha MKKJR. Turut hadir, Ahli-ahli MKKJR, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan di bawahnya serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Dalam ucapan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) MTIC menjelaskan, setiap tahun, kempen sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia adalah bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dan yang tercedera akibat kemalangan jalan raya, mengiktiraf kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kecemasan dan mempromosi hasil usaha-usaha MKKJR yang berjaya dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin dan ke arah pengurangan kemalangan jalan raya.
Penyampaian hadiah dimulakan dengan menyampaikan piala dan hadiah Pertandingan Lukisan Poster bagi Sekolah-Sekolah Rendah, Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya dan Mereka Video Animasi dan Video Klip RADED.
Bagi Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya Kali Ke-3, Johan telah disandang oleh Sekolah St.Angela, Naib Johan disandang oleh Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB dan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Ma’ahad Islam Brunei.
Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat saringan, peringkat separuh akhir dan peringkat akhir. Pertandingan Peringkat Akhir telah diadakan pada 9 November 2024. Tiga orang pelajar dari sekolah ini telah berjaya ke peringkat separuh akhir iaitu Winnie Lu Jia Yin, Khoo Zhi Wei dan Nur Maziah Hasifah Binti Bahrin. Semasa pertandingan peringkat akhir, Nur Maziah Hasifah Binti Bahrin telah berjaya mendapat Naib Johan. Manakala Winnie Lu Jia Yin dan Khoo Zhi Wei telah mendapat hadiah sagu hati. Guru pembimbing bagi pertandingan ini ialah Cikgu Tan Been Tiem dan Cikgu Othmaliana Massuzanna bt Othman.
Pengetua sekolah, Puan Kho Guik Lan berasa bangga dan gembira atas pencapaian pelajar-pelajar sekolah ini yang telah memenangi pertandingan ini memandangkan para peserta pertandingan ini terdiri daripada sekolah-sekolah kerajaan dan swasta termasuk pusat tingkatan enam. Tambahan pula pertandingan ini diadakan dalam bahasa Melayu dan memerlukan penguasaan bahasa Melayu yang baik.
![]() |
![]() |
| ▲ Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha menyampaikan piala dan hadiah wang tunai kepada Nur Maziah Hasifah binti Bahrin dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB. | ▲ Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha menyampaikan hadiah wang tunai kepada Winnie Lu Jia Yin dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB. |
![]() |
![]() |
| ▲ Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha menyampaikan hadiah wang tunai kepada Khoo Zhi Wei dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB. | ▲ Para pemenang Kuiz Keselamatan Jalan Raya dari Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB bergambar dengan Cikgu Tan Been Tiem sebagai pembimbing sewaktu Majlis Penyampaian Hadiah. |
![]() |
![]() |
| ▲ Para pemenang Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya Kali Ke-3 bergambar ramai dengan pengetua Puan Kho Guik Lan (keempat dari kiri), timbalan pengetua Cikgu Beh Hai Yau (kedua dari kanan) dan penolong pengetua Cikgu Tan Been Tiem (pertama dari kanan). | ▲ Nur Maziah (ketiga dari kiri) bergambar ramai dengan pengetua Puan Kho Guik Lan (kedua dari kiri), penolong pengetua dan guru pembimbing Cikgu Tan Been Tiem (pertama dari kiri ) dan Cikgu Othmaliana Massuzanna, guru pembimbing. |




